Pemerintah masih perlu jaga kaum minoriti
Comments Off20 Ogos 2009
Berita Harian Singapura
SINGAPURA
Pemerintah masih perlu jaga kaum minoriti
MM Lee bidas usul yang dibentang NMP menyentuh isu kaum minoriti
Oleh
Adli Yashir Kuchit
MENTERI Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew, berkata pemerintah mempunyai tanggungjawab menjaga dengan ‘lebih teliti’ kepentingan masyarakat Melayu dan kaum minoriti lain seperti yang ditetapkan dalam Perlembagaan Negara.
Ini kerana setiap masyarakat minoriti ada keperluan yang tersendiri dan memerlukan masa ‘berdekad’, mungkin ratusan tahun, sebelum mereka dapat mencapai taraf yang serupa dengan masyarakat majoriti.
Namun, perlaksanaan prinsip itu secara menyeluruh adalah sesuatu yang tidak lagi praktikal berdasarkan kemajuan yang dicapai masyarakat Melayu di sini.
‘Perlembagaan Singapura menetapkan kita perlu menjaga kedudukan masyarakat Melayu dan kaum minoriti yang lain.
‘Ia tertakluk dalam Artikel 152 dan 153,’ kata Encik Lee.
Beliau berkata demikian di Parlimen semalam ketika membidas usul yang dibentangkan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Viswa Sadasivan.
Dalam usulnya itu kelmarin, Encik Sadasivan mahu Dewan mengukuhkan komitmennya kepada prinsip yang ditetapkan dalam Ikrar Negara.
Antara lain, beliau berpendapat Ikrar Negara menetapkan bahawa setiap kaum perlu dilayan secara adil dan saksama.
Encik Lee, yang awalnya tidak berniat membahaskan usul tersebut, bangun kerana ingin mengingatkan anggota Dewan mengenai asal usul pembentukan negara ini.
Prinsip yang diterapkan dalam Ikrar Negara menurut beliau hanyalah aspirasi dan bukan ideologi.
‘Menyusuli rusuhan kaum, setelah kita dikeluarkan (dari Malaysia) hingga kita mencapai kemerdekaan, masyarakat Melayu waktu itu bimbang kerana kami kaum majoriti.
‘Mereka bimbang, mereka akan menerima layanan sama seperti cara kaum majoriti Melayu melayani kami,’ kata Encik Lee.
Justeru, pemerintah menetapkan dalam Perlembagaan untuk menjaga kedudukan masyarakat Melayu.
Namun, Encik Lee berkata dengan kemajuan yang dicatatkan masyarakat Melayu, prinsip memberi layanan istimewa secara menyeluruh kepada masyarakat Melayu adalah tidak praktikal.
‘Ia boleh membawa kesan yang buruk dan sukar diperbaiki jika kita teruskan prinsip tersebut,’ jelas Encik Lee.
Menurut Menteri Pembimbing lagi, masyarakat Melayu telah maju dan ramai kini mempunyai ijazah universiti dan kelayakan profesional.
‘Oleh itu kami minta Mendaki menyetujui usul agar pendidikan percuma di universiti diberikan hanya kepada pelajar Melayu yang kurang mampu,’ kata Encik Lee.
Beliau merupakan salah seorang daripada 14 Anggota Parlimen yang menyertai perbahasan dua hari yang menyentuh usul melibatkan pelbagai isu itu.
Encik Lee juga memberikan contoh perlembagaan Amerika Syarikat dan layanan yang diberikan terhadap kaum kulit hitam di sana.
Perlembagaan Amerika, tambah beliau, tidak menetapkan perlunya ada perbezaan layanan kepada penduduk kulit hitam, namun penduduk kulit hitam hanya dibenarkan mengundi menyusuli gerakan Dr Martin Luther King pada 1960-an untuk mendapatkan kebebasan sivil.
Dalam pada itu, masyarakat minoriti juga mempunyai keperluan yang berbeza.
‘Jika kita minta seorang Menteri Cina atau Menteri India menasihati ibu bapa Melayu supaya menjaga anak-anak mereka dan hindari daripada masalah remaja terlanjur yang kemudiannya boleh menyebabkan perceraian dan keluarga pincang, ibu bapa Melayu akan berkata kita cuba campur tangan dalam kehidupan mereka.
‘Atas dasar itulah kita tubuhkan Mendaki dan Muis untuk membantu masyarakat Melayu mengurangkan masalah serupa itu,’ jelas Encik Lee.
No related posts.
Related posts brought to you by Yet Another Related Posts Plugin.