Unsur bah dalam bahasa persuratan
Comments Off22 Okt 2009
KOMENTAR
PADA HEMAT SAYA
Unsur bah dalam bahasa persuratan
Oleh
Mohd Raman Daud
TIDAK semena-mena berlaku bahas kecil mengenai masa depan Pengajian Melayu baru-baru ini. Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Encik Hawazi Daipi, telah mengumumkan peri penting memupuk elit bahasa Melayu.
Mengapakah dua perkembangan ini berlaku hampir serentak? Adakah disengajakan?
Tentu sekali tidak. Ini semua suratan. Tentu ada hikmah atau kebaikannya.
Tetapi yang ingin saya paparkan di pojok ini ialah masa depan persuratan Melayu, termasuk menyangkut akhbar ini iaitu harian tunggal berbahasa Melayu di Singapura.
Masa depan Pengajian Melayu memang mengalami zaman penentuannya (age of reckoning) kini. Sebaliknya pula berlaku pada Pengajian India atau China.
Sebabnya jelas. China dan India kian menjadi gergasi berpendudukan besar dalam bidang ekonomi dan politik dunia. Berbanding India yang boleh dipelajari menerusi bahasa Inggeris, China menuntut pengajian dalam bahasa Mandarin.
Dalam Dunia Melayu pula yang diwakili Indonesia dan Malaysia, kemajuannya dikatakan mendatar akhir- akhir ini disebabkan kemelesetan dan permasalahan kepimpinan.
Jadi, lumrahnya pengajian berlaku apabila ‘pasaran’ menentukan. Pengajian Melayu, antara lain, diasaskan kuasa-kuasa Eropah dalam rangka menguasai atau menjajah rantau ini.
Di negara ini, Pengajian Melayu di dua varsiti iaitu Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) memang sudah terkenal. Kini timbul pula unit Pengajian Melayu di Universiti SIM.
Sering Pengajian Melayu dinilai untuk melatih guru Melayu atau pegawai pemerintah yang perlu tahu tentang orang Melayu. Pada zaman saya di kampus Bukit Timah lebih tiga dekad lalu, Pengajian Melayu bak subjek ‘penampan’ untuk mudah lulus peperiksaan.
Gambaran sedemikian tentulah perlu diubah dalam rangka melahirkan elit bahasa Melayu dalam rangka matlamat besar MBMS.
Namun, adakah tiga jabatan pengajian Melayu di sini menyedari matlamat MBMS? Atau sudahkah ada kesepakatan antara semua pihak untuk menampilkan pelan induk yang pragmatik?
Hal ini runcing kerana masa depan masyarakat Melayu setempat, dari segi jati diri, azam untuk maju dan sebagainya sering berkaitan dengan citra cemerlang kemelayuannya. Antara lain, Pengajian Melayu memberikan bobot atau isi pada citra ini.
Gagasan elit Melayu oleh MBMS bukanlah baru.
Saya pernah menyertai pelancaran gagasan ini ketika MBMS pimpinan Haji Sidek Saniff dulu. Dalam pertemuan khusus, terkumpul sebilangan elit Melayu yang saya dapati antara mereka mengakui ‘kelu’ berbahasa Melayu.
Namun mereka terpanggil juga kerana ingin mencuba untuk memberikan sumbangan. Syabas.
Sayangnya hampir dua dekad, ‘kelab’ elit itu pudar begitu saja.
Tiga jabatan Pengajian Melayu setempat tentulah merupakan wadah penting melahir dan mendorong elit Melayu. Ketetiganya juga memaparkan kedudukan Singapura sebagai hab pendidikan rantau ini.
Ya, seolah-olah sejarah berulang – Singapura kian menjadi penting di rantau ini dari segi konsep ‘hab’. Hal ini bak mengejar kembali suasana Singapura antara 1850 hingga 1960 sebagai hab intelektual Dunia Melayu.
Pun tidak dinafikan adanya juga anak Melayu yang tidak mengambil Pengajian Melayu, tetapi cenderung mengenainya.
Juga ada orang bukan Melayu (memang sudah berlaku sejak dulu) yang cenderung pada Pengajian Melayu, bahasa, sastera dan sebagainya yang kena-mengena dengan Melayu.
Sekadar contoh, Dr Saiful Nizam Subari, seorang doktor khusus bidang kesukanan dan kini antara pemimpin muda Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu Singapura, sangat cenderung mengenai kebudayaan Melayu.
Katanya, ada kalangan rakan sejurusannya turut menunjukkan minat serupa.
Dalam perubahan masa, berlaku detik besar atau ‘bah’. Diperikan orang tua-tua dulu, sekali bah, sekali pantai berubah.
Walaupun orang Melayu dulu tidak tersebut istilah ‘paradigma’ (kerangka berfikir) atau ‘revolusi’, mereka mahir menilai alam dan perubahannya.
Fenomena ‘bah’ perlu berlaku pada cara kita menilai Pengajian Melayu yang berasal daripada zaman penjajahan dan juga cara kita menjana elit Melayu yang sedar lagi insaf untuk mencetuskan kemajuan bermakna.
Sebenarnya, erti ‘islah’ atau pembaharuan sudah tertancap dalam amalan tamadun Islam tanpa meninggalkan prinsip terasnya dari segi akidah.
Apabila tidak berlaku ‘islah’, maka berterusanlah fikiran ‘jumud’ yang membelenggu kemajuan. Inilah yang dikatakan berlaku pada umat Islam yang membentuk seorang daripada empat insan di jagat ini.
Oleh itu, sudah tiba masanya Pengajian Melayu tidak lagi tinggi di menara gading tetapi membumi ke rakyat jelata.
Dan elit berbahasa Melayu tidak lagi sebagai golongan menengah atau atasan yang menyendiri tetapi turun ke padang mempelajari masyarakatnya menerusi bidang yang dipanggil Pengajian Melayu dan terus memberikan sumbangan.
Apakah caranya?
Pojok ini terlalu terbatas untuk menghuraikannya.
Namun, setidak-tidaknya ia boleh bermula dengan satu kesepakatan atau dialog oleh semua pihak yang berkepentingan untuk melakarkan masa depan bersama.
Jika tidak, kita masing-masing akan memilih arah sendiri dan melalui laluan yang entah jauh atau dekat atau mungkin tidak kesampaian ke arah satu matlamat.
No related posts.
Related posts brought to you by Yet Another Related Posts Plugin.