Berdakwah Di Kubur
Comments OffOleh: Rudy Herman Sinen
Disiarkan di: Majalah Sarina (Karangkraf), July 2004. In PDF (1MB)
Tenang, syahdu dan hening. Begitulah suasana di tanah perkuburan. Keluarga si mati bersama-sama membantu menyempurnakan jenazah dengan mengebumikan jenazah dan membacakan talqin. Ketika talqin, terasa keinsafan menusuk jiwa dan ada juga yang akan mencucurkan air mata.
Bagi Hj Tahir Bin Karim, 52 tahun, inilah kesempatan terbaik untuk menyampaikan dakwah kepada sesiapa yang hadir di masa pengebumian itu. Berdakwah di kubur sudah tidak asing lagi untuknya. Malah, beliau menggunakan berbagai teknik berdakwah secara kreatif dalam menyampaikan dakwahnya.
Beliau ialah seorang juru mandi jenazah yang sekaligus menjadi Imam yang menguruskan pengebumian mayat. Sudah 6 tahun berpengalaman menguruskan berbagai-bagai keadaan mayat – dari yang mati sakit sehinggalah yang mati bunuh diri. Beliau menjalankan tugas ini melalui sebuah syarikat Singapore Muslim Casket yang beroperasi di Singapura.
Beliau yang satu masa dahulu bergelanggang di balapan dan aktif dalam sukan lumba lari serta silat, kini bergelanggang di tanah perkuburan.
Apabila ditanya apakah yang mendorong beliau mahu menceburkan diri dalam bidang pengurusan jenazah, dengan spontan beliau menjawab, “Kita ni banyak dosa. Moga-moga dengan melakukan pekerjaan ini pahalanya dapat tutup dosa kita.” Beliau hanya mengharapkan akan ganjaran pahala sebesar gunung Uhud, seperti yang disampaikan Rasulullah, bagi sesiapa yang menguruskan jenazah hingga sempurna.
Melalui pekerjaan ini, beliau dapat menyampaikan dakwah dengan lebih berkesan ketika semua orang sedang bersedih dan insaf. Jika ada sahaja kesempatan semasa menguruskan jenazah, beliau akan menggunakannya untuk menyampaikan peringatan. Samada semasa di rumah kematian, di dalam bas jenazah ketika menuju ke perkuburan atau semasa talqin, Hj Tahir tetap akan menyampaikan dakwahnya.
Satu lagi cara kreatif yang beliau lakukan ialah dengan mengadakan ziarah kubur selepas mengebumikan jenazah. Beliau akan membawa keluarga si mati menziarahi kubur-kubur para alim ulama dengan menaiki bas. Beliau akan menceritakan perihal kehidupan ulama tersebut dan mengajak orang yang hadir menghadiahkan Fatihah untuk para alim ulama. Ramai yang menghargai usaha beliau mengadakan ziarah kuburan alim ulama setiap kali selepas menguruskan jenazah.
Ternyata teknik dakwahnya yang unik ini membuahkan hasil. Beliau sering diminta oleh keluarga si mati agar dapat menguruskan jenazah keluarga mereka.
Beliau menceritakan pernah seorang wanita datang berterima kasih kepadanya kerana wanita itu mendapat kesedaran semasa mendengar penyampaian talqinnya. Wanita itu yang dulunya tidak bertudung kini memakai tudung selepas peristiwa itu. Selain dari itu, pekerja-pekerja di tanah perkuburan juga mendapat kesedaran hasil dari cara Hj Tahir menyampaikan talqin. Ada yang mengabaikan solat, kini sudah kembali bersolat. Dengan menggunakan bahasa mudah, penyampaiannya menjadi berkesan.
Namun, cabaran ketika menguruskan jenazah tidak kurang hebatnya. Oleh kerana pengalaman yang beliau tempuhi inilah yang membulatkan tekadnya untuk terus berdakwah.
Pernah semasa beliau datang ke sebuah rumah yang kematian bapanya, anggota keluarga itu sedang seronok menonton televisyen. Mereka dengan selamba menyuruh Hj Tahir masuk ke bilik dan menguruskan jenazah bapa mereka. Ada juga yang bermain gitar dan bergurau-senda antara lelaki dan perempuan.
Satu perkara yang Hj Tahir perhatikan ialah jenis orang-orang yang datang menziarahi si mati merupakan gambaran gaya hidup dan percampuran si mati semasa hidupnya.
Beliau teringat akan kata-kata seorang ulama Indonesia terkenal, Kiayi Anwar Musaddad yang berpesan bahawa kita dapat tahu bagaimana percampuran si mati semasa hidupnya dengan melihat siapakah yang datang ziarah di hari kematiannya.
Jika semasa hidupnya banyak bergaul dengan orang yang baik, yang datang adalah di kalangan ustaz atau orang-orang berilmu. Tetapi ada juga yang semasa hidup bergaul dengan kumpulan samseng, ahli kelab malam atau orang-orang yang bertatu, maka yang datang berziarah ialah orang-orang yang seperti itu juga yang hanya berbual-bual kosong di majlis kematian. Sedangkan yang diharapkan oleh si mati bukan harta tetapi doa dari yang masih hidup.
Memang benar pemerhatian Hj Tahir. Tahun lalu, semasa majlis solat jenazah Allahyarham Ustaz Syed Abdillah Al Jufri, seorang ulama terkenal di Singapura, tidak kurang dari 5000 orang jemaah yang bersolat jenazah di Masjid Sultan di Arab Street. Dan sebagai seorang juru mandi yang dikenali ramai, Hj Tahir merupakan salah seorang juru mandi yang menyempurnakan jenazah Allahyarham.
Hampir Dipukul Di Majlis Kematian
Setiap kali jika ada kematian, beliau akan datang ke rumah si mati bersama ibunya. Sedang kawan-kawan sebayanya bermain-main atau ke sekolah, Hjh Hasnah Embi, 52 tahun, suka untuk bersama ibunya menguruskan jenazah. Pada masa itu, beliau baru sahaja berumur 10 tahun!
Meneruskan warisan kemahiran dari datuk dan ibunya, Hjh Hasnah begitu minat menceburkan diri dalam bidang pengurusan jenazah sejak kanak-kanak lagi. Kini, setelah hampir 42 tahun menguruskan jenazah, beliau hanya tersenyum apabila ditanya apakah tidak takut melihat jenazah semasa kanak-kanak dahulu. “Memang tak takut. Mungkin dah ditentukan ini pekerjaan saya.”
Keluarganya yang tinggal di kawasan perkampungan Kaki Bukit di Singapura sejak tahun 1960an memang terkenal sebagai juru mandi jenazah. Setiap kali ada kematian, Hjh Hasnah bersama ibunya akan menguruskan jenazah sehingga sempurna. Di waktu inilah beliau menimba ilmu dan pengalaman secara langsung mengenai pengurusan jenazah dari ibunya. Sewaktu umur 16 tahun, barulah beliau dibenarkan ibunya menguruskan jenazah sendirian setelah ibunya yakin beliau mampu melaksanakan tugas ini dengan sempurna.
Beliau yang sudah banyak menempuh pengalaman menguruskan berbagai keadaan jenazah mengakui, “Cabaran menguruskan jenazah bukan dari si mati, tetapi dari orang yang hidup”.
“Banyak campur tangan dari pihak keluarga semasa kita menguruskan jenazah. Ada yang berkeras nak menguruskan ikut cara mereka, ada yang tulis ayat Allah Muhammad di atas dahi si mati atau di atas tapak tangan mayat.”
“Pernah, semasa saya berumur 20 tahun, saya hampir dipukul dengan kayu oleh salah seorang anggota keluarga si mati.”
Ia berpunca dari sedikit salah faham mengenai cara-cara memandikan jenazah. Setelah diterangkan oleh Hjh Hasnah, barulah keluarga si mati faham. Tetapi salah seorang anggota keluarga itu yang tidak mendengar penerangan Hjh Hasnah, tiba-tiba menyerangnya dengan kayu. Mujurlah ada yang menenangkan keadaan.
Selain dari itu, beliau juga pernah dimarah dan dimaki oleh keluarga si mati yang tidak faham mengenai cara-cara menguruskan jenazah.
Beliau juga sudah banyak kali menguruskan jenazah yang mati sakit, bunuh diri, terjun dari bangunan, terbakar, sakit AIDS dan juga yang sudah reput. Ada juga isteri yang gantung diri kerana suaminya curang.
Namun, cabaran-cabaran ini tidak menjejaskan minatnya untuk terus menjadi juru mandi jenazah. “Yang penting nawaitu (niat) kita,” kata Hjh Hasnah dengan penuh yakin.
“Ibarat semasa kita tunaikan haji, kalau terlintas di hati rasa cuaca panas, sudah tentu kita akan rasa cuaca panas. Begitu juga, kalau kita rasa bau busuk (jenazah), maka kita akan hidu bau busuk itu,” jelas Hjh Hasnah yang pernah menguruskan jenazah Allahyarhamah Siput Sarawak.
Sudah tentu ada sesuatu rahsia atau petua yang menjadikan Hjh Hasnah mampu bertahan menjalankan urusan ini selama 4 dekad, sungguhpun sudah berbagai cabaran yang beliau hadapi.
Sambil tersenyum, beliau mendedahkan beliau sentiasa mengamalkan pesanan ibunya iaitu amanah, tertib dan ikhlas.
Bersikap amanah semasa menguruskan jenazah dan menjaga aib si mayat, tertib semasa menguruskan jenazah sehingga sempurna dan ikhlas ketika menjalankan tugas tanpa ada sebarang kepentingan diri.
No related posts.
Related posts brought to you by Yet Another Related Posts Plugin.