15 Okt 2009

Berita Harian Singapura

KOMENTAR

PADA HEMAT SAYA
Erti seorang Muslim setiap empat insan

Oleh
Mohd Raman Daud
ADAKAH anda selesa bahawa umat Islam semakin membesar?

Menurut laporan syarikat tinjauan jagat, Pew Research Center (Pusat Kajian Pew), sebanyak 23 peratus daripada 6.8 bilion penduduk dunia (1.57 bilion) merupakan Muslim – bertebaran di 232 negara. Umat terbesar dunia ialah Kristian, sekitar 2.1 bilion jiwa.

Pew meraih sumber yang pelbagai untuk mensahihkan perangkaan terbarunya – 50 pakar kependudukan (demografer), banci penduduk dan sekitar 1,500 sumber penduduk di serata dunia.

Tinjauan Pew yang terkini seolah-olah menghentikan kesulitan untuk menemukan ‘angka sebenar’ Muslim sedunia yang sering ditulis antara 1.3 dengan 1.8 bilion jiwa.

Kata Pew, lebih 300 juta Muslim tinggal di negara majoriti bukan Muslim seperti Eropah dan Amerika Utara.

Bahkan bilangan Muslim minoriti lebih besar daripada sesetengah negara Muslim majoriti – India menampung 120 juta Muslim iaitu jauh lebih besar daripada Malaysia, misalnya.

Kebanyakan umat Islam merupakan Sunni dengan 13 peratus pula Syiah.

Hakikat Muslim kian bertambah telah mula dikenal pasti dengan rasa gerun oleh Theodore Lothrop Stoddard (1883-1950) dalam bukunya, Rising Tide of Colour (1920) dan The New World of Islam (1921).

Buku ini mengesankan Sukarno, presiden pertama Indonesia, sehingga diterjemah ke bahasa Indonesia untuk menyedarkan niat buruk petuanan kulit putih atau penjajahan Barat.

Sebahagian jangkaan Stoddard benar-benar berlaku (kemerdekaan negara jajahan kulit putih), tetapi ada yang tidak iaitu kaum kulit putih semakin bersatu (sebaliknya berlaku dua perang dunia).

Stoddard kian dibenci kerana ideanya mengenai memilih baka terbaik kulit putih serupa dengan gagasan Nazi Jerman.

Selepas Stoddard, dunia mengenali Samuel L. Huntington, mahaguru Universiti Harvard, yang gerun dengan kebangkitan Islam dan membayangkan ‘pertembungan tamadun’ yang besar.

Jangkaan Huntington dirasakan seperti benar apabila berlaku peristiwa 9/11.

Namun, majoriti Dunia Muslim telah mengutuk peristiwa itu dengan menyifatkan Al- Qaeda dan kini Taleban sebagai menyelewengkan Islam.

Selepas era pentadbiran Bush yang agak keras terhadap umat Islam, lain pula halnya dengan pentadbiran Obama kini. Salam dihulur dengan janji persahabatan atas dasar sama- sama untung.

Namun, bak dinyatakan seorang alim setempat:

‘Walaupun kita inginkan orang lain baik pada umat Islam, yang utama umat Islam mesti baik sesama sendiri, berjaya dan beradab. Barulah kehadiran Muslim itu sebagai salam damai di mana jua.’

Ulasan alim tadi bak kesimpulan yang amat mendalam.

Hari ini, kebanyakan titik sengketa dunia berlaku di negara Muslim (misalnya, Sudan atau khususnya Darfur, Iraq, Afghanistan dan Pakistan) dan antara minoriti Muslim dengn bukan Muslim (selatan Thailand dan selatan Filipina).

Namun, titik yang paling sering digunakan oleh Al-Qaeda ialah Palestin kerana menyangkut ranah (lingkungan) geopolitik utama di Timur Tengah.

Sesama Muslim saja, kita melihat kesenjangan (jurang kaya miskin) yang besar dan meresahkan. Jurang ini ketara antara negara Arab kaya minyak di Teluk Parsi dengan negara majoriti Muslim yang lain.

Dipercayai 30 hingga 40 peratus Muslim sedunia hidup daif dengan kurang $2 sehari. Sekitar 30 peratus dikatakan buta huruf, tidak menerima jagaan kesihatan dan kemudahan asas.

Dari segi pencapaian Muslim pula, bilangan yang mencapai puncak ilmu sains dan teknologi atau keusahawanan boleh dibilang jari.

Bahkan, Anugerah Al-Malik Faisal yang diberikan kerajaan Arab Saudi (menyamai Anugerah Nobel dari Norway) lebih banyak menampilkan para penerima bukan Islam dalam bidang sains dan teknologi.

Oleh itu, sebagai umat, Muslim masih lemah dari segi daya beli dan ilmu. Sekalipun kita membanggakan diri sebagai golongan sederhana yang cintakan damai, muncul pula gerakan pengganasan yang mencemar imej Islam.

Bak kata alim tadi, gambaran simpang-perinang inilah yang membuat kita sukar menyatakan selesa dengan tidak. Amalan kepemerintahan baik jarang dicapai negara majoriti Muslim dan ini mengakibatkan kezaliman ke atas rakyat.

Pun di sisi lain, kita wajar berbangga dengan berkembangnya Islam pada golongan yang bukan asal Muslim seperti di Barat. Mereka gigih mempelajari Islam dengan lunas-lunas kemanusiaannya.

Bahkan menurut tinjauan Islamonline, sebuah wadah siber mengenai ehwal Islam, semakin Islam dipersoal di Barat, kian tinggi kadar pemelukannya – suatu yang dikhuatiri oleh Stoddard. Hal ini, bagaimanapun, dinilai sebagai suatu misteri kudus.

Related posts:

  1. Unsur bah dalam bahasa persuratan
  2. Pemerintah masih perlu jaga kaum minoriti

Related posts brought to you by Yet Another Related Posts Plugin.