Makam Iskandar Syah Di Bukit Fort Canning
Comments OffOleh: Rudy Herman Sinen
Disiarkan di: Majalah Sarina (Karangkraf), September 2004. In PDF (1.5MB)
Pada tahun 1926, satu penemuan yang bersejarah berlaku di puncak Bukit Fort Canning di Singapura. Sekumpulan pekerja pembinaan menemui beberapa buah perhiasan emas dengan ukiran yang luarbiasa terkubur kira-kira 3 metre di dalam tanah. Peristiwa itu berlaku di puncak Bukit Fort Canning semasa para pekerja itu sedang menggali tanah di tapak pembinaan sebuah takungan air.
Barang kemas yang dijumpai itu bukan sebarangan. Ia dipercayai tertanam di situ sejak 700 tahun dahulu kerana semua perhiasan itu mempunyai motif ukiran seni abad ke-14. Di antara perhiasan emas yang dijumpai itu ialah beberapa bentuk cincin dan subang, seutas rantai untuk perhiasan di lengan dan sebuah perhiasan yang berbentuk bujur yang bertatahkan beberapa biji permata kecil.
Dan perhiasan yang paling cantik ialah rantai lengan yang mempunyai bentuk ukiran kepala Tuhan Kala di permukaannya. Kala ialah salah satu anak Tuhan Durga kepercayaan kaum Hindu zaman dahulu. Ukiran berbentuk seperti ini biasanya terdapat pada barang perhiasan yang berasal dari Sumatra dan Jawa.
Hampir 60 tahun kemudian, sekitar tahun 1984, satu usaha untuk membongkar rahsia asal-usul Bukit Fort Canning telah dijalankan oleh Muzium Negara di beberapa buah kawasan di sekitar puncak dan lereng Bukit Fort Canning. Hasil penemuan itu sungguh menakjubkan dan sekaligus membenarkan andaian bahawa di Bukit Fort Canning tersergam sebuah istana raja Melayu yang sambung-menyambung sehingga lima keturunan.
Tambahan lagi, dalam banyak catatan sejarah, ada dinyatakan bahawa sejak tahun-tahun 1300an hingga 1400an, Temasik (nama asal Singapura) merupakan sebuah pusat dagangan utama yang menghubungkan tiga laluan perlayaran penting iaitu laluan dari Lautan Hindi, Lautan Asia Timur dan gugusan kepulauan Indonesia.
Lokasi strategik
Bukit Fort Canning ialah sebuah bukit di Singapura yang terletak berhampiran dengan muara Sungai Singapura dan dikelilingi jalanraya utama seperti River Valley, Stamford Road dan Hill Street. Jika anda berdiri di puncak Bukit Fort Canning, anda dapat melihat seluruh kawasan bandar utama di Singapura seperti Raffles Place, Esplanade, Clarke Quay dan sebahagian Chinatown.
Sejak zaman dahulu kala lagi, lokasi bukit ini amat strategik. Ia berhampiran dengan muara Sungai Singapura, mempunyai sumber air yang berterusan melalui Sungai Singapura yang mengalir berhampiran di sebelah barat bukit dan yang penting sekali, ia memberikan seseorang pemandangan yang jelas ke seluruh kawasan di muara Sungai Singapura.
Siapa yang dapat menguasai Bukit Fort Canning ertinya dia dapat menguasai Temasik kerana hanya Sungai Singapura sahaja merupakan laluan utama masuk ke pulau ini pada masa dahulu.
Tidak hairanlah, jika Sri Tri Buana, Raja Melayu pertama di Temasik, memilih lokasi Bukit Fort Canning ini sebagai pusat pemerintahannya 700 tahun dahulu. Di puncak dan lereng Bukit Fort Canning telah dibina istana dan segala macam bentuk struktur bagi menyokong sebuah penempatan di-raja di sini.
Raja Melayu Pertama
Sri Tri Buana adalah Raja Palembang yang datang ke Temasik dari Bentan sekitar tahun 1299 – 1300. Ada riwayat yang mengatakan nama sebenarnya ialah Sang Nila Utama. Nama Sri Tri Buana sangat sinonim dengan Bukit Fort Canning kerana bermula dari beliaulah, Bukit Fort Canning ini dikenali dan menjadi masyhur sehingga kini. Kedatangannya ke Temasik mengukuhkan kedudukan Temasik sebagai sebuah negara yang gagah di rantau ini pada waktu itu.
Menurut riwayat Sejarah Melayu, Sri Tri Buana merupakan salah seorang dari tiga pemuda yang muncul di puncak Bukit Siguntang Mahameru, Palembang setelah berlaku peristiwa pancaran cahaya pada malamnya. Kemunculan mereka bertiga berlaku pada waktu yang sama padi di atas bukit itu bertukar menjadi emas. Ada riwayat yang mengatakan merekalah yang menukar padi menjadi emas. Ketiga-tiga mereka mengakui berasal dari keturunan Iskandar Zulkarnain (Alexander the Great). Ekoran dari peristiwa itu, cahaya, emas dan bukit menjadi simbol kedaulatan di dalam budaya raja-raja Melayu zaman silam.
Raja Palembang pada waktu itu, Demang Lebar Daun, datang bertemu dengan ketiga-tiga pemuda itu. Hanya Sri Tri Buana kemudiannya menetap di Palembang sementara seorang pemuda yang lain ditabalkan menjadi Raja di Minangkabau dan seorang lagi Raja di Tanjung Pura.
Oleh kerana terlalu hormatkan Sri Tri Buana, Demang Lebar Daun menyerahkan kuasanya kepada Sri Tri Buana. Maka beliau menjadi Raja Palembang yang baru sementara Demang Lebar Daun menjadi Ketua Menteri. Menurut kepercayaannya, semua raja-raja Melayu mempunyai kaitan asal-usul hingga ke Sri Tri Buana.
Beberapa tahun kemudian, Sri Tri Buana dan Demang Lebar Daun berangkat ke Bentan. Di Bentan, mereka berdua bertemu dengan seorang permaisuri yang menguasai kerajaan Bentan. Permaisuri yang bernama Sakidar Syah (atau ada riwayat yang menamakan beliau sebagai Wan Seri Benian) kemudiannya mengambil Sri Tri Buana sebagai anak angkatnya dan menjadikannya putera mahkota kerajaan di Bentan.
Pada satu hari, Sri Tri Buana sedang memburu di satu kawasan yang bernama Tanjung Bemian. Beliau ternampak sebuah pulau yang berdekatan, yang pantainya putih laksana sehelai kain putih bersih. Salah seorang menterinya, Indra Bopal, memberitahu bahawa pulau itu bernama Temasik. Beliau teringin benar untuk ke sana. Maka berangkatlah rombongan Sri Tri Buana bersama Demang Lebar Daun ke Temasik.
Namun, perlayaran mereka tidak seindah pulau yang ingin dituju. Tanpa diduga, semasa dalam perlayaran, berlaku ribut angin kencang dan hampir menenggelamkan kapal yang mereka naiki. Semua barang-barang di atas kapal dibuang ke luar dengan harapan supaya kapal tidak tenggelam. Tetapi angin kencang tetap mengancam keselamatan perlayaran mereka. Dalam keadaan yang gawat itu, salah seorang pegawainya mencadangkan agar Sri Tri Buana mencampakkan mahkotanya ke dalam laut. Tanpa berlengah, beliau mencampakkan mahkotanya ke dalam laut. Tiba-tiba, angin kencang terus malap dan keadaan menjadi sediakala. Lalu, selamatlah rombongan itu sampai ke Temasik.
Sri Tri Buana tertarik hati dengan pulau yang baru ditemuinya iaitu Temasik. Lantas, dia memerintahkan pegawainya supaya memberitahu orang-orang di Bentan bahawa beliau tidak akan kembali ke Bentan tetapi mahu mengasaskan sebuah kawasan baru di Temasik.
Ternyata keputusan Sri Tri Buana itu merupakan titik permulaan kegemilangan kerajaan Melayu di Temasik. Kerajaan Melayu di Temasik yang bermula dari Sri Tri Buana berpengkalan di Bukit Fort Canning selama lima keturunan dari tahun 1299 hingga 1397.
Setelah 48 tahun bertakhta, Sri Tri Buana mangkat dan dipercayai disemadikan di Bukit Fort Canning. Demang Lebar Daun juga mangkat tidak lama kemudian dan dipercayai disemadikan di Bukit Fort Canning.
Kerajaan Sri Tri Buana diwarisi oleh anaknya Sri Pikrama Wira yang terus menyambung warisan bapanya untuk menjadikan Temasik terkenal dan dapat menarik ramai pedagang dari berbagai negara.
Selepas beliau, kerajaan Temasik disambung oleh Sri Rana Wikerma, kemudiannya oleh Paduka Sri Maharaja dan akhirnya oleh Sultan Iskandar Syah atau yang juga dikenali sebagai Parameswara.
Melalui susur sejarah ini, dapat kita fahami betapa besar peranan Bukit Fort Canning sekitar 700 tahun yang lampau. Ia merupakan pusat kerajaan Melayu Temasik selama satu abad dan ia juga tempat bersemadinya Sri Tri Buana dan Demang Lebar Daun yang berperanan menghidupkan kembali kegemilangan negara Temasik.
Setelah berakhirnya kerajaan keturunan Sri Tri Buana pada penghujung abad ke-14, bukti-bukti sejarah yang menggambarkan peranan Bukit Fort Canning di abad ke-16 dan 17 tidak banyak yang ditemui.
Apabila pihak British yang diketuai oleh Sir Stamford Raffles tiba di Singapura pada tahun 1819, barulah Bukit Fort Canning kembali menjadi satu kawasan yang penting dan utama.
Pada tahun 1823, Raffles mendirikan kediamannya di Bukit Fort Canning dan sebuah kebun bunga seluas 19 hektar juga diasaskan oleh Raffles. Setelah Raffles meninggalkan Singapura, kediamannya dirobohkan pada tahun 1859 untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah kubu tentera oleh pihak British.
Hampir 100 tahun angkatan tentera British menduduki kawasan Bukit Fort Canning sehinggalah apabila tentera Jepun menakluki Singapura pada tahun 1942. Bukit Fort Canning sekali lagi bertukar tangan dikuasai oleh tentera Jepun sehingga tamat Perang Dunia Kedua.
Peninggalan sejarah ditemui
Dalam catatan sejarah, ada diceritakan bahawa setelah British menduduki Singapura, John Crawford, Residen Kedua Singapura, merakamkan pemerhatiannya semasa meninjau-ninjau di sekitar Bukit Fort Canning pada tahun 1822.
Menurutnya, di sebelah utara dan timur Bukit Fort Canning, terdapat banyak serpihan-serpihan tembikar serta pinggan mangkuk dari negeri Cina dan duit-duit tembaga Cina abad ke-10 and ke-11.
Di sebelah selatan pula, Crawford mendapati satu kawasan seperti taman atau kebun buah-buahan yang jenisnya bukan seperti jenis buah-buahan yang biasa pada waktu itu. Penemuan ini menggambarkan mungkin wujudnya sebuah kebun atau taman buah-buahan pada satu masa dahulu di sana.
Banyak hasil kajian pakar sejarah yang mengatakan kebun atau kawasan tanaman buah-buahan merupakan satu ciri yang mesti ada dalam sesebuah istana raja Indonesia pada zaman silam. Dan tradisi membina kawasan kebun yang luas di dalam istana masih boleh disaksikan pada zaman ini di tempat-tempat seperti Cirebon, Surakarta dan Bali.
Namun, satu-satunya penemuan Crawford yang sangat menarik pada tahun 1822 itu ialah apabila beliau menjumpai sebuah struktur kayu yang sangat usang dan hampir roboh berdekatan dengan puncak Bukit Fort Canning. Ia mempunyai ciri-ciri sebuah struktur yang terdapat pada seni bina Indonesia zaman silam. Mungkingkah ianya sebahagian dari istana atau sebuah balai untuk rakyat berkumpul. Hali ini tidak dapat dipastikan kerana semua struktur itu sudah tidak wujud lagi untuk kajian di zaman ini.
Di sebelah barat Bukit ini pula dipercayai pernah wujud sebuah tempat permandian di-raja yang pada tahun 1819 dipanggil sebagai Pancur Larangan. Airnya bersumber dari sumur yang berada di kawasan itu. Kawasan permandian seperti ini biasanya terdapat di dalam istana zaman dahulu di Indonesia. Disekelilingnya biasanya dihiasi dengan perhiasan dan ukiran yang indah. Besar kemungkinan ia digunakan pada abad ke-14 dahulu. Di dalam kitab Hikayat Abdullah yang ditulis oleh Abdullah Munsyi ada dinyatakan mengenai wujudnya sebuah Sungai Larangan di Bukit Fort Canning.
Sehingga tahun 1830, sumur itu masih menghasilkan air minum untuk bekalan kapal-kapal yang singgah di Singapura. Namun beberapa tahun kemudian, beberapa buah perigi telah digali di kaki Bukit Fort Canning sehingga menyebabkan bekalan air dari sumur itu kering buat selama-lamanya.
Misteri Keramat
Salah satu kesan peninggalan sejarah Melayu yang terdapat di Bukit Fort Canning ialah wujudnya Makam Iskandar Syah. Inilah satu-satunya peninggalan sejarah abad ke-14 yang masih wujud sehingga hari ini. Ia dipercayai ditemui sekitar tahun 1822. Dan sejak itu, ia menjadi tempat ziarah mahupun tempat pemujaan. Tetapi apabila pihak kerajaan Singapura mengambil alih pengurusan Bukit Fort Canning, kegiatan pemujaan dan penyembahan dilarang di sana.
Iskandar Syah merupakan raja Melayu yang kelima dan terakhir dari keturunan Sri Tri Buana yang bertahkta di Temasek selama tiga tahun. Namun, ada riwayat yang mengatakan beliau melarikan diri dari Sumatra dan merampas kuasa di Temasik.
Apabila Temasik diserang oleh tentera Siam, Iskandar Syah melarikan diri ke Muar dan kemuadiannya ke Melaka. Di Melaka, beliau mengasaskan Melaka, sekaligus menjadikan Melaka sebuah negara yang makmur dan gagah di bawah pemerintahannya selama 20 tahun. Catatan sejarah Cina menyatakan Iskandar Syah mangkat pada tahun 1420, tetapi tidak disebut nama tempat di mana beliau mangkat. Ada juga yang mengatakan beliau mangkat pada tahun 1412.
Oleh kerana itu, Makam Iskandar Syah di Bukit Fort Canning ini masih menjadi tanda tanya, apakah Iskandar Syah benar-benar bersemadi di sini, sedangkan beliau pada masa itu adalah pengasas negeri Melaka dan sudah tentu akan tinggal di sana. Atau ianya adalah Sri Tri Buana yang dipercayai dikebumikan di Bukit Fort Canning? Persoalannya lagi ialah Sri Tri Buana dipercayai beragama Hindu. Dan amalan orang-orang di abad ke-14 ialah tidak mengebumikan mayat tetapi membakar mayat sehingga menjadi abu. Ataupun, mungkin di tapak Makam Iskandar Syah asalnya merupakan tempat penyembahan atau pemujaan, bukan kubur sesiapa. Hal ini masih belum dapat dipastikan oleh pakar sejarah.
Bukit yang dilarang
Bukit Fort Canning bukanlah nama asal kawasan ini. Ia mendapat berbagai gelaran sepanjang sejarahnya. Tetapi, di zaman Sri Tri Buana, tidak pula diketahui apakah panggilan khusus yang diberikan kepada kawasan berbukit ini.
Apabila British tiba di Singapura pada tahun 1819, para penduduk di Singapura menggelarkan kawasan berbukit in sebagai Bukit Larangan. Di dalam kitab Hikayat Abdullah, ada diceritakan tentang perbualan di antara Temenggong Abdul Rahman (Temenggong Singapura waktu itu) dengan Kolonel Farquhar (Wakil Raffles di Singapura) mengenai Bukit Larangan itu. Menurut Temenggong, kawasan itu digelar Bukit Larangan kerana di sana pernah wujud satu kawasan istana raja yang mana rakyat jelata dilarang masuk ke kawasan itu.
Ada juga riwayat yang mengatakan kawasan Bukit Larangan itu berhantu dan tidak ada orang yang boleh naik ke Bukit Larangan melainkan mendapat izin dari Temenggong. Sebab itu, apabila rombongan British mahu mendaki Bukit Larangan itu, kesemua penduduk tempatan yang bersama rombongan British enggan naik ke Bukit Larangan.
Setelah British menduduki Singapura, Bukit Larangan itu menjadi tempat kediaman Raffles dan dinamakan sebagai Government Hill. Pada tahun 1860, kawasan kediaman Raffles itu telah diratakan dan dibina sebuah kubu tentera (fort) British. Sekali lagi, nama Government Hill itu ditukar ke Fort Canning Hill. Nama Canning itu dipercayai sempena nama George Canning, Gabenor British di India.
Bukit Fort Canning kini sudah diubah suai menjadi sebuah taman yang indah. Walau begitu, kesan sejarahnya masih dikekalkan. Terdapat satu laluan yang dipanggil 14th Century Walk yang membawa pengunjung menyusuri sejarah abad ke-14 melalui penjelasan di papan tanda dan beberapa tapak pameran.
Pada tahun 1984, satu kajian sejarah telah dilakukan di beberapa kawasan di Fort Canning. Hasil dari usaha ini, sebanyak 30,000 barang-barang dari abad ke-14 telah dapat digali. Barang-barang itu termasuk, tembikar, pinggan mangkuk, duit-duit lama dan lain-lain lagi. Kebanyakan barang-barang yang ditemui berasal dari China, Thailand dan juga barang tempatan.
Penemuan barang-barang bersejarah yang selama ini terkubur di Fort Canning semenjak 700 tahun yang lalu menguatkan hujah bahawa satu masa dahulu pernah wujud di Bukit Fort Canning sebuah singgahsana di-raja Melayu dan sekaligus mengembangkan peranan Temasik sebagai sebuah pusat perdagangan serantau yang makmur.
Para pakar sejarah menyakini Bukit Fort Canning masih menyimpan satu khazanah sejarah yang lumayan mengenai sejarah kerajaan Melayu abad ke-14 dan juga sejarah awal Singapura. Banyak kawasan di Bukit Fort Canning yang masih belum lagi digali dan dikaji untuk mencungkil kesan-kesan sejarah yang bersemadi di dalamnya. Malah, di kawasan sekitar Bukit Fort Canning, seperti tebing Sungai Singapura dan Empress Place, dipercayai masih banyak menyimpan khazanah sejarah yang hanya menanti untuk dibongkar.
Kewujudan kerajaan Melayu abad ke-14 di Temasik bukan sahaja dikisahkan dalam kitab Sejarah Melayu, tetapi ia juga ada dicatatkan oleh seorang pengembara Cina bernama Wang Dayuan sekitar tahun 1349, ada juga disebut dalam sebuah sajak Jawa abad ke-14 yang dipanggil Desawarnana bahawa Temasik sebagai negeri di bawah kerajaan Majapahit dan juga catatan hasil dari pemerhatian John Crawford pada tahun 1822.
Malah, Raffles yang datang ke Singapura 500 tahun kemudian memberi penghormatan kepada raja-raja yang pernah bertakhta di Bukit Fort Canning apabila beliau pernah berpesan, “…jika saya mati di sana (Singapura), jasad saya akan mendapat perhormatan bersemadi bersama dengan jasad/abu raja-raja Melayu.”
Tag: Temasek, Fort Canning, Singapura, Iskandar Syah, Sang Nila Utama
No related posts.
Related posts brought to you by Yet Another Related Posts Plugin.


