Oleh: Rudy Herman Sinen
Disiarkan di: Majalah I (Karangkraf), April 2005. In PDF (500KB)

Tidak seperti kebanyakan masjid-masjid yang berada di kawasan ramai penduduk Islam, Masjid Khadijah dikelilingi dengan rumah-rumah penyembahan agama Cina dan juga sebilangan besar persatuan-persatuan kaum Cina. Justeru itu, masjid yang berusia 85 tahun itu berhadapan dengan dua cabaran – bagaimana untuk menarik jemaah untuk memakmurkan masjid dan juga untuk memastikan agar masjid tetap relevan di sekitaran kegiatan agama dan budaya bukan Islam.

Masjid Khadijah yang terletak di Geylang Road, Singapura, sekitar 2 kilometer dari Geylang Serai – sebuah kawasan orang Melayu yang terkenal, merupakan hartanah yang dibeli dan diwakafkan untuk pembinaan masjid oleh Puan Katijah Bte Mohamed pada tahun 1915. Namun, tanpa diduga, Puan Katijah meninggal dunia setahun selepas kerja-kerja pembinaan masjid dimulakan. Lima tahun kemudian, tersergamlah sebuah masjid yang bakal menjadi contoh integrasi kaum di Singapura.

Jika anda berjalan sekitar 500 meter di sekeliling Masjid Khadijah, anda akan dapati terdapat banyak bangunan kegiatan agama bukan Islam seperti Sagaramudra Buddhist Institute, Soon Thian Keng Temple, Kwan Im See Temple, Khek Community Clan Association, Singapore Hakka Chong Association dan banyak lagi.

Justeru, pihak Masjid Khadijah telah mengatur langkah bijak dalam menghadapi cabaran berada di tengah-tengah kegiatan agama bukan Islam. Walaupun kecil, ia tetap tidak memencilkan diri. Ia menghulurkan tangan untuk menjalin hubungan dengan persatuan-persatuan kaum dan agama Cina yang berjiran dengan Masjid Khadijah.

Malah usaha ini telah dilakukan jauh sebelum berlakunya tragedi 9-11 dan pembongkaran gerakan Jemaah Islamiah di Singapura yang telah menyedarkan masyarakat betapa pentingnya menjalin hubungan baik sesama kaum.

Usaha penyatuan kaum yang dijalankan oleh Masjid Khadijah bukan sekadar lawatan dan ziarah sahaja, pada tahun 2001, ia telah mengorak langkah besar demi menjalin hubungan antara kaum di Singapura.

Pada bulan Jun 2001, Masjid Khadijah menganjurkan satu acara pertemuan muhibbah antara kaum secara besar-besaran di kawasan Eunos yang dinamakan Pertemuan Muhibbah Masyarakat (Community Goodwill Gathering). Acara dua hari itu mendapat sambutan di luar jangkaan, di mana berbagai lapisan masyarakat tidak kira bangsa dan agama bermesra sambil menikmati hidangan nasi beriani percuma.

Pada Januari 2003 pula, sempena perasmian bangunan tambahan dan projek baik pulih Masjid Khadijah, pihak masjid telah menerbitkan sebuah buku khas yang menyorot usaha-usaha penyatuan kaum yang telah diusahakannya selama ini. Buku setebal 120 muka yang berkonsepkan coffee-table book itu bertajuk “Masjid Khadijah Satu Contoh Integrasi Masyarakat” (Khadijah Mosque An Example of Community Integration). Ia memuatkan penerangan kegiatan masjid, gambar-gambar berwarna-warni serta wawancara dengan mantan Perdana Menteri Singapura, Goh Chok Tong dan Menteri Bertanggungjawab Hal Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.

Malah, penerbitan buku itu telah ditaja oleh badan-badan bukan Islam seperti Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Kampong Ubi, Yayasan Lee dan Geylang Serai CCC dengan jumlah tajaan sebanyak $25,000 (RM57,000).

Selaku Pengerusi Masjid Khadijah, Ust Hj Ali Hj Mohamed merupakan penggerak utama dalam misi integrasi masyarakat yang giat dilaksanakan. Beliau juga adalah pemimpin Tariqat Qadiriyyah Naqsyabandiah di Singapura dan juga pelopor bagi kaedah pemulihan untuk penagih dadah melalui cara zikrullah yang dinamakan Program Inabah.

Berikut ialah wawancara dengan Ust Hj Ali Hj Mohamed:

Buku “Khadijah Mosque An Example of Community Integration” diterbitkan sempena perasmian bangunan tambahan Masjid Khadijah, apakah matlamat di sebalik usaha ini?

Kalau kita lihat, Masjid Khadijah dikelilingi oleh rumah-rumah penyembahan agama lain, persatuan India dan Cina juga beroperasi di sini. Di sini kita tidak mempunyai penduduk Islam yang ramai. Kebanyakan jemaah yang datang biasanya dari kawasan luar. Jadi, kita perlu memahami antara satu sama lain. Kita harus mengerti bagaimana mereka menjalankan aktiviti mereka dan mereka juga harus memahami cara-cara kita. Jiran mesti kenal antara satu sama lain. Apatah lagi kalau jiran kita bukan orang Islam.

Semasa majlis perasmian bangunan tambahan masjid, bukan sahaja Perdana Menteri dijemput, malah persatuan agama lain pun dijemput. Sebab itu, integrasi kaum ini sangat penting. Itulah matlamatnya.

Bagaimana sambutan di kalangan masyarakat bukan Islam terhadap buku itu?

Saya kira mereka merasa senang dengan usaha Masjid Khadijah ini. Buku itu dicetak sebanyak 14,000 naskhah dan kami edar secara percuma kepada badan-badan sosial dan kumpulan-kumpulan berbagai agama.

Masjid Khadijah giat dalam usaha menjalin hubungan antara kaum. Mengapa hal ini menjadi keutamaan?

Di Singapura, integrasi kaum sangat penting, tidak kira samada dari golongan minoriti atau majoriti. Kalau kedua-kedua golongan boleh memahami antara satu sama lain, kita boleh hidup dengan aman. Tidak curiga-mencurigai. Apatah lagi, di masa ini, agama Islam itu sedang difokus. Umat Islam sendiri mesti menunjukkan apa yang negatif yang diperkatakan tentang Islam itu tidak benar. Kita perlu main peranan supaya org lain dapat mengerti.

Lihat sahaja, dari segi ekonomi kita tidak dapat lari dari berurusan dengan kaum lain. Apatah lagi, ramai orang Islam yang bekerja dengan bangsa-bangsa lain di firma-firma mereka. Kita tidak mahu orang kita dicurigai. Kita harus menunjukkan bagaimana kita boleh hidup aman dan damai.

Kita nak hidup aman. Jadi, bila masjid bekerjasama dengan kaum lain dari sudut kemanan, saya rasa ini satu perkara yang penting. Kita perlukan mereka dan mereka juga perlu kepada kita. Kita hendak mereka melihat umat Islam ini golongan yang progresif, tidak berfikiran sempit dan tidak membawa ancaman bagi mereka.

Bolehkah Ustaz ceritakan pengalaman dan cabaran semasa melakukan kegiatan sesama kaum?

Memang biasa kami sentiasa bekerjasama dengan badan-badan bukan Islam yang lain. Kita melawat tempat mereka dan mereka melawat masjid kita. Contohnya, kita pernah jemput mereka ke masjid untuk belajar cara-cara membuat kuih chang. Kita juga pernah buat satu pertemuan antara kaum secara besar-besaran di kawasan Eunos. Kita menjemput berbagai kumpulan agama dan adakan program menguji kesihatan serta jamuan nasi beriani percuma untuk orang ramai.

Begitu juga, kita menerima banyak kunjungan dari persatuan agama lain. Mereka ingin tahu apa itu Islam, cara kita menjalankan ibadah dan kegiatan kita.

Bila mereka jemput kita ke majlis mereka, mereka siapkan makanan halal untuk kita. Ada juga yang memberitahu kita dari syarikat mana makanan itu ditempah. Saya dapat melihat mereka sudah memahami amalan kita.

Walaupun kita tidak akan menyembah agama mereka tapi kita harus cuba memahami mereka dan begitu juga mereka terhadap kita dan ini membantu ke arah integrasi kaum itu.
Bila semuanya dalam keadaan aman, semua perkara boleh dilakukan. Kita boleh beribadah dengan aman. Pokok pangkalnya keamanan. Dan keamanan dijaga oleh semua kaum.

Rakyat Singapura pernah dikejutkan dengan pembongkaran gerakan Jemaah Islamiah di Singapura, apakah punca timbulnya golongan sedemikian?

Ini satu fenomena dunia di mana berlaku salah faham pada istilah jihad. Bagi orang yang tidak faham dan tidak mempelajari makna jihad itu sendiri, mereka menyempitkan istilah jihad hanya kepada peperangan. Bila golongan ini menamakan tindakan mereka atas nama Islam, maka kita orang-orang Islam mesti membersihkan imej Islam yang sudah tercemar. Dan ini masalah seluruh dunia.

Dalam Islam, jihad itu banyak ertinya. Dalam hidup seharian pun kita sedang berjihad. Jihad dari segi pendidikan, jihad dari segi ekonomi, jihad dalam membentuk keluarga yang sakinah.
Jihad terhadap nafsu jangan sampai nak bergaduh sesama sendiri, jangan ada sifat riak, takabur, hasad dengki. Isikan dengan sifat-sifat yang baik. Itu semua perlukan kita berjihad dengan sungguh-sungguh.

Apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengekang agar gejala ini tidak menular?

Kalau sesuatu itu ada berkait dengan ideologi, ia harus ditolak. Dan para ulama harus menerangkan yang sebenarnya kepada masyarakat bahawa ini satu ideologi yang salah. Ada sebahagaian umat Islam terpengaruh apabila ideologi disertakan dengan emosi. Jadi orang ini, tanpa pengetahuan agama yg mendalam, dia rasakan ideologi itu satu tuntutan agama.
Umat Islam harus bersedia, berhati-hati serta gunakan kepintaran dan jangan terima sesuatu dengan mudah tanpa berilmu. Tetapi, kalau orang Islam tidak menyiapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan ulama-ulama tidak mahu keluar untuk menerangkan ajaran yang sebenarnya, jadi masyarakat tidak akan faham.

Ustaz juga memimpin Tariqat Qadiriyyah Naqsyabandiah, bagaimanakah ilmu tasawuf boleh berperanan dalam mengatasi kemelut yang dihadapi umat Islam kini?

Tasawuf atau ilmu akhlak banyak boleh mainkan peranan. Ia dapat membersihkan jiwa. Contohnya, dalam perhubungan dengan kaum lain, Islam tidak membezakan mereka sebagai insan. Perbezaannya hanyalah dari segi iktikad.

Sifat kasih sayang, hormat menghormati, faham memahami, ikhlas, ini kita boleh tunjukkan kepada orang-orang bukan Islam. Bahawa Islam bukan hanya mengutamakan soal lahir tapi mengutamakan persoalan jiwa.

Orang yang benar-benar bertasawuf, dia tidak membuat keganasan, sebab tasawuf itu membawa keamanan.

Tag: , , ,

No related posts.

Related posts brought to you by Yet Another Related Posts Plugin.