Nama-nama pokok
Comments OffSumber: Berita Harian Singapura
Pokok Pukul Lima atau Pokok Hujan-Hujan (Rain Tree)
Ramai tidak tahu bahawa nama pokok ini menggambarkan sifat dedaunnya yang menguncup waktu senja. Ia boleh tumbuh setinggi 25 meter dan seluas 40 meter dari garis pusat. Apabila berbunga pokok ini diselaputi bebunga berwarna merah jambu dan putih seakan berus.
Pokok Sena (Angsana)
Pokok tinggi malar hijau yang boleh tumbuh setinggi 40 meter dan berbentuk kubah. Ia berbunga daripada sedikit sehingga merimbun. Bunganya berwarna kuning dan harum. Buahnya yang leper matang dalam masa empat hingga enam bulan dan menjadi perang apabila tua. Ia mempunyai sayap serabut bagi penyebaran melalui udara.
Pokok Batai (Yellow Flame)
Pokok ini, yang boleh mencapai ketinggian 20 meter, popular kerana bunganya yang kekuningan. Lenggainya (pod) berwarna coklat manakalanya bunganya boleh mekar sekitar tiga sentimeter dan lebih lembut daripada kertas tisu.
Pokok Mahoni Senegal (Senegal Mahogany)
Pokok ini mudah tumbuh dan ketinggiannya mencapai 30 meter. Ia mudah dikenali menerusi keadaan batangnya yang luruslaras (cylindrical). Keadaannya yang bersifat kubah memberi teduhan yang baik. Berbunga putih, buahnya pula berkelompok dalam sebuah lenggai dan bertebaran menurut angin.
Pokok Tembusu
Ia tumbuh sehingga 40 meter. Daunnya kelihatan seperti disusun dalam bentuk pilin yang rapat pada hujung dahan-dahan yang terlangkup. Bunganya amat kecil, berbentuk trompet, berwarna putih kuning, dan amat wangi. Buahnya berwarna jingga terang ketika masak. Isinya benyek dan dimakan oleh kelawar, burung, dan keluang. Biji-biji yang keras disebarkan melalui tahi mereka.
Pokok Jambu Laut (Sea Apple)
Ketinggiannya boleh mencecah 30 meter. Daunnya keras dan kilat dengan hujungnya tertelungkup secara ketara. Bunganya berwarna putih dan berbentuk rumpun padat yang menjolok mata. Baunya amat wangi. Buahnya keras dan berwarna hijau dan merah gelap serta kering ketika masak.
Pokok Mahoni Daun Besar (Broad-leafed Mahogany)
Pokok ini boleh tumbuh setinggi lebih 30 meter. Batang kayunya lebih bulat dan lurus, berwarna abu-abu dan halus ketika masih muda, berubah menjadi coklat tua, beralur dan mengelupas setelah tua. Benih berwarna coklat bersayap yang panjangnya antara empat hingga lima sentimeter dan tersebar dengan bantuan angin. Setiap buahnya terdiri daripada 35 hingga 45 butir benih.
Pokok Saga Daun Tumpul
Ketinggiannya boleh mencecah 20 meter dan pokok ini memberi teduhan baik kerana payungan kubahnya sangat luas. Yang menariknya, empat biji saga yang berwarna merah darah ini dikatakan seberat satu gram dan pada dahulu kala ia digunakan sebagai pengukur bagi timbangan emas dan perak.
Pokok Trompet
Pokok ini boleh tumbuh sehingga 25 meter dan dikenali sebagai pokok trompet kerana ‘mahkotanya’ kelihatan seperti muncung alat muzik itu. Pokok ini berbunga pada April dan Ogos, semasa musim panas, dan bunga-bunganya menutupi hampir keseluruhan pokok itu.
Pokok Ketapang (Sea Almond)
Pokok yang mencecah ketinggian 25 meter ini berdaun besar dan mudah dikenali kerana dahannya bertingkat-tingkat dalam keadaan tersusun. Ia ditanam sebagai pokok landskap untuk menghiasi tepi jalan dan taman. Ia juga tumbuh liar di tepi pantai berpasir. Buahnya yang masak boleh dimakan mentah pada bahagian luar dan juga isi biji (nat) yang berasa lemak serta enak dikunyah. Buah ketapang juga digunakan sebagai ubat tradisi penawar darah tinggi dan sebagai tonik kardiak.
No related posts.
Related posts brought to you by Yet Another Related Posts Plugin.