CENDEKIAWAN Islam terkenal, Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad, telah diberi penghormatan oleh Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) atas sumbangannya menjadikan koleksinya sebagai warisan tiada tolok bandingnya kepada negara.
Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad, 89 tahun, telah menyumbangkan sebanyak 700 kitab agama bersiri dan meminjamkan 6,000 naskhah manuskrip kepada NLB.
Selain itu, Ustaz Ahmad Sonhadji turut menyumbangkan khutbah-khutbah tulisannya yang ditulis dalam tulisan Jawi.
Ustaz Ahmad Sonhadji yang begitu berminat dengan ilmu memberitahu, bahawa setiap kali ada kenalannya ke Indonesia, Mesir ataupun Kuwait beliau akan memesan beberapa buah buku dan majalah untuk di bawa pulang.
‘Pendirian saya ialah, jika hendak banyak ilmu, kita mesti banyak membaca. Jika hendak banyak pengalaman, kita mesti banyak menulis,’ ujarnya lagi.
Walaupun Ustaz Ahmad Sonhadji kini menghidap penyakit Parkinson beliau masih mempunyai pemikiran yang tajam.
Beliau percaya bahawa dalam keadaannya yang tidak sihat sekali pun beliau masih boleh berbakti kepada negara dan masyarakat.
‘Dengan meninggalkan beberapa kitab kepunyaan saya kepada Perpustakaan Negara, saya juga dapat meninggalkan warisan agama untuk generasi seterusnya.
‘Jika saya sendiri yang menyimpan kitab-kitab saya, saya tidak dapat mengekalkan keadaan kitab-kitab itu dengan baik. NLB punya kepakaran menjaganya,’ ujar beliau.
Ustaz Ahmad Sonhadji merupakan ahli tafsir Al-Quran di Singapura.
Pada tahun 1960-an beliau pernah menerbitkan buku-buku teks Bahasa Melayu dalam tulisan Jawi bagi peringkat sekolah rendah bersama beberapa muridnya.
Selain Ustaz Ahmad Sonhadji, penulis, penyajak dan pelukis mapan, Encik Abdul Ghani Hamid, juga diberi penghormatan oleh NLB.
Encik Abdul Ghani telah menyumbangkan buku-buku sastera kepada NLB sekali gus dapat membantu NLB membina kumpulan warisan Singapura.
Mereka juga adalah antara 19 penyumbang kepada dokumentari warisan di The Pod di Perpustakaan Negara semalam.
Kebanyakan daripada penyumbang yang diberi penghormatan ini merupakan rakyat Singapura daripada pelbagai latar belakang.
Mereka merupakan pemenang pingat budaya, penulis sastera, seniman, pemilik kedai buku dan jurugambar.
Masyarakat umum boleh melihat kumpulan daripada para penyumbang di tingkat 10, NLB di Victoria Street.
Singapura : 27 Februari 2009
Berita Harian Singapura
http://cyberita.asia1.com.sg
No related posts.
Related posts brought to you by Yet Another Related Posts Plugin.