Oleh: Rudy Herman Sinen
Disiarkan di: Majalah I (Karangkraf), Mei 2005. In PDF (750KB)

Dua bulan selepas berlakunya tragedi ngeri tsunami yang melanda Aceh, seorang wanita Aceh mengutus sebuah warkah kepada saudaranya. Iriani Masyhuri, yang menetap di Banda Aceh bersama suami dan dua orang anaknya, kehilangan hampir 400 orang anggota keluarga besarnya pada tanggal 26 Disember 2004 lalu. Berikut ialah warkah pilu dari beliau yang merakamkan saat kejadian dahsyat tsunami itu.

Banda Aceh
Februari 2005

Yang Terkasih Kakakku,
Kak Suria dan seluruh keluarga,

Alhamdulillah. Puji syukur kehadirat Allah yang telah mempertemukan kita kembali. Dan ini merupakan hikmah dari segala cobaan ini semoga kita selalu dalam lindungan dan berkahNya.

Kak Suria yang Ir(Iryani) rindui,

Masih segar dalam ingatan sewaktu kita di Semarang (1983) bersenda gurau dan menonton wayangan di Peterongan. Begitu juga, pada tahun 1988, kita bersama-sama makan durian di kaki Gunung Lampuk. Perkampungan itu sudah habis rata semasa tsunami. Ir rasanya bahagia sekali mengenang saat-saat itu.

Pemberian kakak sebuah dompet hitam masih ada pada Ir. Tapi sayang sudah rosak semasa tsunami. Tapi Ir masih simpan dompet yang rosak itu. Begitu juga dengan sebuah radio kecil pemberian adik Kak Suria turut rosak tertimbun lumpur tsunami. Semua barang-barang tu masih Ir simpan kerana mempunyai memori yang indah bila dikenang.

Kakakku yang jauh,

Pada pagi tanggal 26 Disember itu, Ir sedang menanam bunga di halaman rumah. Ir juga sedang menukarkan pokok-pokok bunga dari pasu plastik ke pasu batu. Kerana di Aceh sedang musim bunga Euphorbia. Waktu ini, Cuma Ir seoarang sahaja di halaman rumah. Anak-anak tidak keluar.

Tiba-tiba Ir dikejutkan dengan satu gegaran kuat. Gempa yang kuat sedang berlaku. Ir langsung menyuruh anak-anak dan suami keluar dari rumah. Jiran-jiran Ir juga lari keluar dari rumah masing-masing. Gempa masih bergegaran semasa kami berkumpul di luar rumah.

Sedang kami berkumpul, Ir ternampak dua orang tua tetangga Ir yang Ir anggap mereka sebagai orang tua Ir. Bapak itu berumur 89 tahun dan ibu itu berumur 82 tahun. Kedua-dua orang tua ini tidak mempunyai saudara-mara di sini. Mereka berdua mahu keluar dari rumah ke tempat kami berkumpul.

Kasihan mereka. Lalu Ir bersama beberapa orang lain pergi membantu bapak dan ibu itu. Dua kali kami jatuh tersungkur saat mengeluarkan dua orang tua itu kerana gegaran kuat.

Gempa ini sangat luarbiasa. Kami tergoncang ke kiri dan ke kanan, lalu ke muka (hadapan) dan ke belakang. Kemudian, seakan diangkat lalu dihempaskan ke bumi. Begitulah keadaannya saat gempa berlaku.

Kedua orang tua itu berkumpul bersama keluarga Ir di tepi jalan. Kami bimbang kerana kami tidak tahu apa lagi yang akan terjadi. Mujur, keadaan menjadi tenang semula. Lalu Ir masuk ke rumah dan Ir lihat hanya akuarium Ir pecah dan ikan luohan jatuh ke lantai. Perabot yang lain di rumah Ir tidak banyak yang rosak. Ir angkat ikan itu dan pindahkannya ke dalam baldi agar ikan terus hidup.

Selepas itu, Ir pun teringatkan saudara Ir yang lain. Mujurlah, telepon Ir tidak rosak. Ir langsung menelepon Abang Hamdani di Bandung dan adik Irwan Syah di Bali untuk khabarkan kepada mereka mengenai kejadian gempa ini.Ir beritahu mereka yang kami di sini selamat dan tidak ada apa-apa.

Di luar rumah, orang-orang yang berkumpul di tepi jalan sudah mula berzikir dan bersalawat beramai-ramai. Ir lihat anak-anak pun tenang dan tidak ketakutan, syukurlah. Ir pun keluar dan bersama mereka berzikir.

Tiba-tiba, sedang kami memohon kepada Allah, kami nampak ramai orang dari jauh berlari ke arah kami dan berteriakan, “Air laut naik, air laut naik.” Mereka berlari seakan-akan dikejar sesuatu. Tapi waktu itu Ir tidak berasa khuatir sebab Ir tidak tahu apa itu air laut naik atau tsunami. Mungkin hanya banjir sahaja. Dan begitu juga kami semua yang berada di situ, kami rasakan hanya banjir sahaja yang akan berlaku.

Oleh kerana orang-orang yang berteriakan itu semakin hampir dengan kami, kami pun lantas membawa anak-anak serta dua orang tua itu ke rumah dua tingkat berhadapan dengan rumah Ir. Suami Ir membawa anak-anak dan orang tua naik ke tingkat dua. Dan Ir pulang ke rumah untuk mengambil surat-surat penting dan untuk kunci pintu.

Dalam masa Ir berlari pulang ke rumah, Ir terdengar suara pekikan semakin riuh dan menakutkan. Seolah-olah ada sesuatu yang di belakang sana yang mengejar kumpulan orang-orang itu. Tapi Ir masih tidak menyangka yang tsunami sudah melanda kami. Yang dalam jangka masa sesaat sahaja lagi seluruh kampung kami akan musnah dan menjadi rata. Ir kuatkan hati lalu terus masuk ke rumah.

Di dalam rumah, Ir angkat peti televisyen yang terjatuh dan letakkannya di atas katil spring. Sebuah almari yang tersenget juga Ir tolak supaya berdiri tegak. Semua surat-surat penting dan ijazah Ir, Ir campakkan ke dalam almari, mudah-mudahan ia lebih selamat dari jika Ir bawa surat-surat penting itu keluar bersama Ir.

Selepas itu, Ir terus ke kamar anak-anak. Ir angkat peti televisyen dan permaidani ke atas katil spring. Ir fikir air banjir tidaklah akan naik sampai melepasi ketinggian katil spring. Ir pun keluar dari kamar anak-anak dan mahu mengunci pintu rumah.

Dalam masa Ir bergegas keluar dari kamar anak, Ir tersentak dengan suara teriakan suami Ir yang sangat nyaring. “Ir keluar, Ir, Ir keluar sekarang.” Tapi belum sempat Ir fahami maksud suami Ir dan keluar dari rumah, pintu rumah Ir terus pecah berkecai dan air berlumpur dan berminyak warna hitam masuk ke rumah Ir dengan deras. Ir ditolak dengan keras lalu terhempas ke dinding rumah. Ir hanya nampak seluruh ruang rumah Ir dipenuhi air hitam pekat. Mujur, Ir masih sedarkan diri dan tidak tenggelam.

Kemudian, Ir terdengar suara suami Ir memanggil Ir. Ir mencari-cari dan cuba berenang ke depan. Lalu, Ir ternampak suami Ir sedang berenang menuju ke tempat Ir. Alhamdulillah, Ir berasa syukur dia selamat. Ir pun memeluk suami Ir di belakang dan dia terus mula berenang menuju ke pintu samping untuk terus ke atap rumah. Bila sahaja kami sampai ke muka pintu itu, air deras menolak kami masuk kembali ke dalam rumah. Kami terpaksa berlawan dengan air yang kuat.

Kami terjumpa sebuah meja besar di rumah Ir. Ir pun naik dan berdiri di atas meja. Waktu itu Ir sudah pasrah pada Allah kerana Ir tidak bisa berenang. Suami Ir terpaksa ke luar rumah untuk menyelamatkan anak-anak dan Ir yakin Ir mampu untuk menyelamatkan diri Ir. Suami Ir menyuruh Ir naik ke atap rumah melalui atas sebuah sumur.

Walau begitu, Ir sempat berpesan kepada suami agar terus berusaha menyelamatkan dirinya demi anak-anak, walau tanpa Ir. Ir tabahkan hati dan terus melepaskan suami berenang pergi. Sambil air deras menolak-nolak tubuh suami Ir, dia memandang Ir dan menggengam erat tangan Ir lalu dia lepaskan dan berenang meninggalkan Ir. Ir hanya berdoa kepada Allah agar kami masih dapat selamat dan dipertemukan nanti. Itulah saat yang sangat pilu sepanjang hidup Ir.

Setelah suami Ir berjaya berenang keluar dari pintu samping, Ir lantas menolak-nolak meja itu ke arah tandas. Dari tandas barulah bisa lompat ke sumur. Tetapi untuk sampai ke sumur, Ir terpaksa melintasi kawat jemuran. Bayangkan, seperti orang bermain sarkas, Ir terpaksa berjalan di atas kawat jemuran itu. Dengan badan Ir yang gemuk, Ir boleh berjalan di atas kawat jemuran itu dengan selamat. MasyaAllah! Itulah kebesaran Allah.

Dengan baju basah kuyup dan cuaca panas menyengat, akhirnya Ir sampai di atap rumah. Dari atas, Ir dapat lihat kemusnahan di seluruh kampung Ir dengan air hitam pekat mengalir deras. Mobil-mobil hanyut seperti kotak-kotak besar dan kapal-kapal nelayan tersadai di depan rumah Ir. Padahal, tempat kapal-kapal nelayan sejauh 6 km dari rumah Ir. Pokok-pokok besar tumbang dan hanyut lalu menghentak rumah-rumah kecil.

Kak Suria yang manis,

Dalam syukur, Ir berasa gerun dan bimbang. Bimbang tentang nasib suami dan anak-anak.

Ir berdiri dan cuba mencari rumah yg berhadapan dengan rumah Ir. Alangkah gembira Ir rasakan, apabila Ir dapat lihat anak-anak Ir berada di atap rumah yang di hadapan. Lantas, Ir meneriak kepada anak Ir supaya mengumandangkan azan. Anak Ir pun azan. Tidak lama kemudian, air pun mula surut menjadi 1 meter tinggi. Kami tidak henti-henti berdoa untuk keselamatan dunia dan akhirat. Hampir seluruh kampung bergema dengan berdoa dan berzikir mohon keselamatan.

Tetapi, tiba-tiba, paras air naik semula dan air menjadi semakin deras. Kami cemas kalau sesuatu buruk yang akan berlaku lagi. Dalam masa kami cemas dengan paras air yang semakin tinggi, kami terlihat seorang wanita sedang hanyut dicepit di antara sampah-sarap dengan sebuah mobil kijang. Dia masih hidup dan berpaut di sebatang tiang telepon.

Kami memekik kepadanya supaya tidak panik. Ada beberapa pemuda memberanikan diri membantu wanita itu. Setelah bergelut dengan pukulan air yang deras, mereka berjaya menarik ke atas wanita itu. Ternyata, wanita itu sedang hamil 8 bulan. Mujur, dia dapat diselamatkan.

Setelah agak lama, air yang deras mula mengalir lesu dan surut perlahan-lahan. Apabila air sudah surut, kami dapat saksikan satu permandangan yang sangat pilu dan ngeri. Keadaan kampung kami hanya dipenuhi dengan kemusnahan dan sampah-sarap. Kapal nelayan kecil dan besar terdampar seperti besi buruk. Mayat-mayat sangat banyak sekali. Di keliling rumah Ir sahaja banyak mayat-mayat bergelimpangan.

Allahu akbar. Ir masih terbayang hingga kini suasana yang tak pernah Ir saksikan dan impikan untuk berlaku di kampung Ir. Mayat-mayat orang dewasa hingga bayi semuanya bertaburan. Kami sama-sama mengumpulkan mayat-mayat yang ada di atas jalan. Ada juga mayat-mayat yang tercepit di celah-celah sampah dan mobil. Semuanya kami angkat dan kumpul di Masjid Al Huda. Sewaktu mengangkat mayat-mayat, Ir mencari-cari kalau-kalau ada mayat keluarga Ir. Tapi susah hendak dipastikan pada waktu itu kerana terlalu banyak mayat dikeliling.

Kak Suria yang dirahmati Allah,

Musibah ini meragut ramai dari kalangan keluarga Ir. Ibu, ayah, abang, adik serta semua sebelah keluarga Ir lebih dari 55 orang yang terkorban. Sebelah suami Ir seramai 11 orang korban. Kalau mahu dihitung keluarga Ir yang satu nenek, 400 orang kesemuanya yang korban. Bapak dan ibu yang Ir selamatkan sewaktu tsunami tinggal bersama Ir sekarang dan Ir anggap mereka sebagai pengganti orang tua Ir.

Rumah Ir masih ada walaupun rosak di sana sini. Kini, Ir menginap di rumah teman sementara menunggu rumah Ir siap dibaiki. Bahan-bahan bangunan pun susah didapati di sini. Kalau ada pun terlalu mahal.

Itulah pengalaman ngeri yang Ir lalui bersama keluarga semasa tsunami. Semoga Allah melindungi kita semua.

Wassalam.
Salam rindu,
Iriani Masyhuri

Tag: ,

No related posts.

Related posts brought to you by Yet Another Related Posts Plugin.