Translated into Malay by Rudy Herman Sinen

Lalitesh Katragadda: Mencipta peta untuk melawan bencana, membangunkan ekonomi

Pada tahun 2008, Puting Beliung Nargis melanda Myanmar. Jutaan manusia memerlukan bantuan. Bangsa-bangsa Bersatu mahu segera menghantar penyelamat dan bekalan ke sana. Tetapi tidak terdapat peta, tidak ada peta jalan raya, tidak ada peta hospital, tidak ada cara untuk membantu mangsa puting beliung itu.

Apabila kita melihat pada peta Los Angeles atau London sukar untuk mempercayai bahawa sejak 2005 hanya 15 peratus kawasan dunia yang dipeta ke tahap perincian geokod. Bangsa-bangsa Bersatu berhadapan dengan masalah yang dihadapi oleh kebanyakan negara ramai penduduk: tidak mempunyai peta yang terperinci.

Namun, bantuan sedang tiba. Di Google, 40 orang relawan menggunakan satu perisian yang baru untuk memeta 120,000 kilometer jalan raya, 3,000 tapak hospital, logistik dan bantuan. Mereka mengambil masa empat hari. Perisian baru yang mereka gunakan? Google Mapmaker.

Google Mapmaker ialah satu teknologi yang memperkasakan kita untuk memeta apa yang kita tahu di peringkat tempatan. Orang ramai menggunakan perisian ini untuk memeta segala-galanya dari jalan raya hingga sungai, dari sekolah hingga perniagaan tempatan, dan kedai video hingga kedai sudut.

Peta adalah penting. Calon Hadiah Nobel Hernando De Soto mengiktiraf bahawa kunci kepada pemacuan ekonomi bagi kebanyakan negara-negara sedang membangun ialah untuk menggunakan kawasan tanah yang luas yang tidak dimanfaatkan. Sebagai contoh, di India sahaja hartanah bernilai trilion dolar tidak dipermodalkan.

Pada tahun lalu, ribuan pengguna di 170 buah negara telah memeta jutaan cebisan maklumat, dan mencipta sebuah peta dengan tahap perincian yang tidak pernah difikirkan boleh. Dan hal ini berlaku dengan kuasa pengguna yang penuh semangat di mana-mana.

Mari kita lihat beberapa buah peta yang sedang dicipta oleh pengguna sekarang. Jadi, sedang kita berbicara, pengguna sedang memeta dunia di 170 buah negara ini. Anda boleh lihat Bridget di Afrika yang baru memeta sebatang jalan raya di Senegal. Dan, lebih dekat dengan negara kita, Chalua, sebatang jalan raya N.G di Bangalore.

Ini adalah hasil daripada geometri perkomputeraan, pengenalan gerak isyarat dan pembelajaran mesin. Ini merupakan kemenangan bagi ribuan pengguna, di ratusan bandar-bandar, seorang pengguna, satu suntingan setiap masa.

Ini adalah satu pelawaan kepada 70 peratus daripada kawasan planet kita yang belum dipeta. Selamat datang ke dunia baru. (Tepuk tangan)

No related posts.

Related posts brought to you by Yet Another Related Posts Plugin.